Monday 25 March 2013

Redha Allah Di Atas Redha Ibu Bapa


Segala syukur dan puji-pujian kepada Allah , Tuhan semesta alam. Tuhan yang berhak disembah , dipuji dan dicintai. Kami berlindung kepada Allah dari segala macam kejahatan dan tipu daya syaitan. Dari segala dosa dan noda yang telah kami lakukan.
Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan yang berhak disembah selain Allah semata-mata dan aku bersaksi bahawa Nabi Muhamad adalah pesuruh Allah. Selawat dan salam keatas baginda s.a.w. Sesungguhnya barang siapa yang diberikan oleh Allah petunjuk , maka tiada siapa yang dapat menyesatkannya dan barang siapa yang disesatkan oleh Allah , maka tiada siapa yang dapat memberikannya petunjuk.
Keredhaan Allah atau Mardhotillah adalah sesuatu yang diharapkan oleh sekalian hamba Allah yang beriman. Setiap amalan yang kita lakukan hendaklah dengan niat untuk mendapat keredhaan Allah kerana tiada apa lagi ganjaran yang lebih tinggi melainkan redha Allah s.w.t ke atas kita semua. Dengan redha Allah barulah kita mendapat bantuan , pertolongan dan ganjaran dari Nya. Salah satu jalan meraih redha Allah adalah dengan mencari keredhaan ibu dan bapa kita.
Mencari keredhaan ibu bapa tampak seperti perkara kecil bagi muda-mudi Islam di zaman moden ini. Ada dari kita yang tidak menjaga adab dengan ibu bapa , ada yang menganggap ibu bapa seperti rakan sebaya malah ada dari kita yang sanggup membentak dan menderhaka kepada kedua-dua insan yang membesarkan kita dengan penuh susah dan payah. Mengundang kemarahan ibu bapa sama ertinya dengan mengundang kemarahan dan kemurkaan Allah s.w.t. Begitu juga sebaliknya.  
Rasulullah s.a.w bersabda :
"Sesiapa yang memancing kemarahan ibu bapanya bererti dia memancing kemurkaan Allah dan sesiapa yang menyukakan hati ibu bapanyabererti dia membuat Allah redha kepadanya." (Riwayat Baihaqi)
Kemarahan ibu bapa kadang kala tidak terlihat di raut wajah mereka. Kita sama sekali tidak tahu mereka berkecil hati terhadap perilaku kita. Oleh kerana itu adalah menjadi kewajipan bagi kita semua untuk menjaga adab dan tingkah laku kita sebagai seorang anak setiap masa sebagaimana 
firman Allah s.w.t :
"Dan TuhanMu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah antara keduanya atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun "Uh", dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (bersopan santun)." (Al-isra' :23)

Cuba kita merenung kembali saat mereka membesarkan kita. Ketika itu kita hanyalah seorang anak kecil yang tidak tahu apa-apa. Tiada kekuatan dan tiada daya dan upaya tanpa pertolongan mereka. Bayangkan saat kita semua menangis ditengah malam, mereka bersengkang mata mendodoi dan menidurkan kita.
Tiada istilah tidur nyenyak bagi mereka demi untuk memastikan kita tidur dengan baik. Adakah kita semua lupa saat itu?. Fikirkan kembali bagaimana mereka memberikan kita makan, tempat tinggal, pelajaran, duit dan segala macam kesenangan untuk membesarkan kita hingga kita menjadi diri kita sekarang ini. Fikirkah kita semua itu?
Sekarang , saat kita membesar dan mempunyai kekuatan , daya dan kesenangan , mudah bagi kita melupakan jasa kedua ibu bapa. Sedangkan suatu masa dahulu kita hanya tahu menangis dan meminta. Ketika mereka tidak lagi berdaya , tubuh sudah lemah , rambut dipenuhi uban dan mata mulai kabur , mungkinkah bagi kita menjaga mereka sama seperti mereka menjaga kita sewaktu kita kecil?
Fikirlah sejenak wahai diriku dan saudaraku sekalian. Ada benarnya pepatah mengatakan bahawa seorang ibu dan bapa boleh menjaga sepuluh orang anak dalam suatu masa namun sepuluh orang anak belum tentu boleh menjaga seorang ibu dan bapa. Itulah hakikat pahit yang perlu ditelan.
Lihatlah wajah mereka, curahkanlah segala kasih sayang buat ibu dan bapa. Sesungguhnya mengasihi mereka membuahkan kemaafan dan keampunan dari Allah terhadap dosa kita. Ketika Abu Musa dan Abu Amir sampai ke Madinah dan berbai'ah kepada Rasulullah, maka Rasulullah bertanyakan keadaan isteri mereka ketika ditinggalkan. Mereka menjawab "Isteri saya tinggal bersama orang tuanya dan berbakti kepadanya" Rasulullah s.a.w berkata "Dosa-dosanya telah diampunkan oleh Allah s.w.t" Mereka bertanya kepada Rasulullah "Kenapa ya Rasulullah?." Baginda menjawab "Kerana dia berbakti kepada orang tuanya".
Hargailah ibu bapa kita selagi hayat mereka masih ada. Selagi mereka masih disisi kita, itu adalah anugerah Allah dan wajiblah kita menjaga mereka sebaik mungkin. Tanpa ibu dan bapa siapalah kita. Ucapkanlah kata sayang, tautkanlah bibit cinta dan rantaikanlah dengan rantaian kasih bersama mereka. Moga redha Allah bersama dengan kita kerana redhanya ibu bapa terhadap kita. InsyaAllah.





2 comments:

  1. nice entri..

    tanpa ibu bapa,tak mungkin kita dapat melihat dunia :)

    ReplyDelete
  2. thanks. and yeah , betul tu :))

    ReplyDelete